KUCHING: Sarawak enggan mengambil langkah drastik berhubung kenyataan Jabatan Meteorologi (MET) Sarawak bahawa asap letusan Gunung Ruang akan sampai ke ruang udara negeri ini.
Sebaliknya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, Sarawak masih menunggu nasihat pakar untuk sebarang langkah berhubung perkara itu.
Katanya, perkara itu mungkin berlaku kerana kepulan asap itu akan dibawa angin ke tempat lain, namun Sarawak masih menunggu nasihat dari pakar.
“Perkara itu mungkin berlaku kerana angin akan membawa kepulan asap itu, tapi kita lihat dulu macam mana dan tunggu nasihat daripada pakar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi di sini, malam tadi.
Jelasnya lagi, kepulan asap itu berkemungkinan tidak sampai ke Kuching tetapi mungkin sampai ke utara Sarawak seperti Limbang sehingga ke Bintulu kerana Sulawesi berdekatan dengan Utara.
Tegas beliau, yang dikhuatiri adalah letusan tersebut mengeluarkan zarah yang boleh merosakkan kapal terbang memaksa beberapa penerbangan dibatalkan semalam.
MET Sarawak ketika dihubungi media tempatan semalam memaklumkan ada kemungkinan asap letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara itu sampai ke sebahagian kecil ruangan udara Sarawak melalui tiupan angin.